Monday, November 19, 2007

Kasihanilah aku...

Bismillahir-Rahmaanir-Rahiim

Segala puji kepada-Mu ya Allah, Zat Yang Maha Pencipta. Engkaulah satu-satunya Sang Maha Pencipta, selain daripada-Mu ya Allah semuanya telah diciptakan. Sesungguhnya, seluruh ciptaan-Mu ini ya Allah, hanya mampu bergantung kepada rahmat-Mu. Tidak ada apa yang makhluk-Mu miliki, hanya harapan kepada rahmat-Mu. Ya Allah, selawat dan salam buat kekasih-Mu, Hadrat Rasulillah Muhammad SAW; yang Engkau telah nobatkan dengan sempurna, sebagai Rahmat bagi sekalian Alam. Limpahan selawat dan salam jua buat keluarga Baginda, serta para Sahabat yaang telah menyukakan Baginda dengan dakwah dan pengorbanan mereka.

Oh Allah, demi rahmat-Mu yang meliputi segala sesuatu, demi segala nikmat-Mu yang sentiasa mengalir tanpa henti, aku yang faqir ini memohon kekuatan dan taufik daripada Mu, agar hidup dan mati ku ini, semata-mata untuk Mu. Kerana Mu.

Oh Allah, kasihanilah aku yang faqir ini! Janganlah Kau hampakan hamba-Mu ini!

Amin.

Thursday, July 20, 2006

Siapa lagi...?

Bismillahir-Rahmaanir-Rahiim,

Ya Allah, aku memuji-Mu dengan pujian yang selayaknya dengan segala Keagungan dan Kehebatan-Mu. O Allah, Engkaulah Tuhan, tiada Tuhan melainkan Engkau. Engkaulah Tuhan Sarwa Sekalian Alam. Maha Pengasih Engkau ya Allah, Maha Penyayang Engkau ya Allah! Kasih sayang Mu melaut luas, maghfirat-Mu melangit tinggi. Demi rahmat-Mu yang meliputi segala ciptaan-Mu, aku menadahkan tangan dan menghadap akan hati ini kepada Mu; dengan penuh harapan kepada Mu. Sudikanlah kiranya, memandang kepada aku hamba-Mu yang hina ini, dengan pandangan Tuhan Yang Maha Rahman, dan berbelas-kasihanlah kepada ku.

Ya Allah, selawat dan salam buat Rasul Junjungan, Hadrat Habibika Muhammad, Penghulu sekalian Rasul, Penutup sekalian Nabi. Demikian juga buat keluarga baginda, dan para Sahabat sekaliannya. Ya Allah, demi kemuliaan baginda, berbelas kasihanlah kepada kami, umat hujung akhir zaman baginda. Ya Allah, demi kasih sayang baginda kepada kami; sampaikanlah salam rindu kami kepada baginda. Salam dari seorang umat yang amat kecil lagi hina, tetapi amat rindu kepada baginda. O Allah, hanya Engkau yang tahu, apa yang ada di dalam hati ku ini.

Ya Hayyu Ya Qayyum, demi cahaya Wajah-Mu yang menyinari segala sesuatu, sinarlah hati ku ini dengan limpahan taufik dan hidayah-Mu, agar aku senantiasa sedar dan merasa kehadiran-Mu, kebesaran-Mu, kehebatan-Mu dan betapa bergantungnya aku kepada-Mu. Janganlah Engkau biarkan hati ini lalai dari mengingati-Mu. Ya Allah, hidupkanlah hati ini; jangan Kau matikannya. Kau tetapkanlah hati ini di atas kalimah-Mu, terutama pada hari yang akan berbolak-balik pandangan dan hati-hati manusia; hari Akhirat yang pasti akan aku tempuhi.

Ya Allah, betapa banyak hajat-hajat hamba-Mu yang fakir ini, baik hajat dunia ataupun akhirat, namun ya Allah, yang paling penting ya Allah, Engkau kekalkanlah aku atas hidayat-mu, sehingga Engkau redha kepada ku. Ya Allah, kasihanilah sama umat ini. Kami umat kekasih-Mu ya Allah, umat yang ditangisi oleh Rasul-Mu dulu ya Allah. Kami umat akhir zaman ya Allah. Kesianlah kepada kami. Jangan Kau biarkan kami sendirian. Jangan Kau biarkan kami tanpa pembelaan-Mu ya Allah. Jagalah kami, sebagaimana penjagaan terhadap bayi yang dilahirkan. Ya Allah, umat sedang menderita ya Allah. Penderitaan rohani dan jasmani. Kerana kerosakan rohani kami, kami kini bagai buih di laut, bagai hidangan yang sedia diterkam. Ya Allah, ampunkanlah segala salah silap kami. Kami umat kekasih-Mu ya Allah, demi Jah kekasih-Mu ya Allah, ampunilah kami. Janganlah Kau rotan kami lagi ya Allah. Kesian kami ya Allah. Hanya Engkau sahajalah harapan kami. Kalau Kau palingkan diri daripada kami, siapa lagi yang kami nak panggil ya Allah. Ya Allah! Ya Allah! Pandang kami dengan kasih dan keampunan-Mu ya Allah!


Siapa lagi yang kami ada selain-Mu, ya Allah?

Bantulah umat ini...

Amin.

Wednesday, July 19, 2006

Pandanglah kami dengan Rahman dan Rahim-Mu!

Bismillahir-Rahmaanir-Rahiim

Ya Allah, Ya Ahad, Ya Somad! Ya Hayyu Ya Qayyum! Tiada Tuhan melainkan Engkau, hanya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Tuhan yang telah mendahulukan Rahmat-Mu mengatasi Murka-Mu.

Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Melihat tanpa batasan. Segalanya nyata di hadapan-Mu. Apa sahaja yang ada sama ada di alam nyata mahupun di alam ghaib, segalanya terbentang dalam pengelihatan-Mu. Bahkan ya Allah, pada hakikatnya, tiada yang ghaib bagi Diri-Mu. Ilmu-Mu meliputi segala sesuatu. Segalanya nyata dalam Ilmu-Mu. Ya Allah, aku mengadu kepada-Mu ya Allah, dengan hati yang hanya memandang kepada Somadiah-Mu, Engkaulah tempat bergantung segala sesuatu. O Allah, betapa hati ini tersiat dengan penuh kepediahan melihat nasib saudara-suadara kami di Palestin dan kawasan yang sekitarnya. Ya Allah, Engkau kurniakanlah mereka kesabaran dan keimanan, malah hakikat keimanan dan segala kemanisannya, sehingga bagi mereka untuk mendapatkan kasih sayang-Mu, menjadi kekuatan menghadapi ujian yang amat berat ini.

Ya Allah, kami di tanahair kami pula, sedang diuji dengan perkara yang jauh lebih dahsyat. Petaka yang jauh lebih menghibakan hati kecil ini ya Allah. Kini, telah ada hamba-hamba-Mu yang murtad dari agama-Mu, berani mengisytiharkan kemurtadan mereka di depan muka khalayak umat ini. Ya Allah! Petaka apakah ini? Ya Allah amat berat untuk kami tanggung. Ya Allah, bencana ini lebih berat ujiannya, lebih dahsyat daripada ujian Tsunami dan Gempa yang Engkau timpakan kepada saudara kami di Indonesia.

O Allah, satukanlah hati-hati kami dalam keimanan. Engkau cabutlah segala apa saja nikmat daripada kami, tapi janganlah Kau cabut nikmat Iman dan Islam dari hati kami. Ya Allah, tanpa nikmat Iman ini, maka kami akan gagal, hina dan celaka di sisi-Mu. Jika demikian ya Allah, apa lagi yang ada pada kami?

Ya Arahamar-Rahimin,

Engkau bangkitkanlah hamba-hamba-Mu yang akan memimpin kami, insan yang lemah ini. Kau bangkitkanlah kami sekalian, untuk bangun berjuang mempertahankan iman kami. Berilah taufik yang sempurna kepada kami. Ya Allah... Dimanakah Abu Bakar kurun ini yang akan memerangi kemurtadan? O Allah, jadikanlah setiap dari kami sebagai Abu Bakar itu....

Wahai Allah... berlemah-lembutlah atas kami yang penuh kecuaian ini... Engkau panggillah kembali kami secara umat, untuk kembali memenuhi masjid-masjid-Mu... Ya Allah, bantulah kami....

Amin.

Monday, July 10, 2006

Ya Allah, muliakanlah kami...

Bismillahir-Rahmanir-Rahiim,

Ya Allah, Engkaulah Tuhan. Tiada Tuhan melainkan Engkau. Engkau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Rahmat-Mu meliputi segala sesuatu. Ya Hayyu Ya Qayyum. Engkaulah yang mengeluarkan benda yang hidup daripada benda yang mati, benda yang mati dari benda yang hidup. Segalanya datang dan wujud hanya dari Kudrat-Mu. Ya Allah, Ilmu-Mu meliputi segala sesuatu. Tidak tersembunyi walau satu zarah daripada Penglihatan-Mu. Tidak tersembunyi walau sebiji pasir daripada Pengetahuan-Mu. Segalanya bergantung kepada-Mu, sesungguhnya Engkaulah As-Somad, tempat tumpuan segala makhluk. Tidak ada satu makhluk pun yang terlepas daripada pentadbiran-Mu.

Ya Allah, aku bersyukur kepada-Mu untuk nikmat kehidupan yang masih Engkau izinkan ini. Sesungguhnya, berpagi aku pada hari , dan berpagi seluruh buana pada hari ini, hanya untuk-Mu Tuhan Seru Sekalian Alam. Ya Allah, bersama nikmat kehidupan yang Engkau pinjamkan ini, limpahilah aku dengan hidayah dan taufik-Mu. Bimbinglah aku untuk mengharungi baki-baki umur ini, dengan penuh taat dan cinta kepada-Mu. O Allah, demi cinta-Mu kepada kekasih-Mu, junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w., ampunilah segala dosa-dosaku. Janganlah binasakan aku dengan murka-Mu. Ya Allah, jika Kau timpakan kemurkaan-Mu, siapa lagi yang dapat melepaskannya? Maka ya Allah, berbelas kasihan kepadaku, hamba-Mu yang hina ini, baik dalam kehidupan duniaku yang singkat ini, lebih-lebih lagi kehidupan akhirat yang kekal abadi.

Wahai Allah, bantulah aku mencapai Cinta-Mu, mencapai Redha-Mu. Kosongkanlah hati ini, selain daripada-Mu. Penuhkanlah hati ini dengan Kebesaran dan keagungan-Mu. Penuhkanlah hati ini dengan kecintaan kepada Rasul-Mu, Muhammad s.a.w. Ya Allah, pandanganlah aku dan umat hari ini dengan pandangan belas-Mu. Ya Allah, muliakanlah kami dengan kemuliaan hakiki; sebagaimana kemuliaan yang telah Kau berikan kepada para Sahabat dan salafus-soleh yang dulu. Ya Allah, satukanlah hati-hati umat ini. Jadikanlah hati-hati kami menjadi satu, saling menyayangi dan memuliakan antara satu sama lain. hancur dan cabutlah daripada hati kami faham kepuakan, kekabilahan, kepartian, kenegaraan; jadikanlah hati kami bersatu di bawah faham keumatan. Ya Allah, bantulah umat ini, umat kekasih-Mu. Umat yang telah ditebus dengan darah dan pengorbanan oleh kekasih-Mu dan para Sahabat baginda. Ya Allah, muliakanlah kami kembali dengan agama-Mu ini. Ya Allah, dengarlah jeritan hati ini, Ya Allah segerakanlah bantuan-Mu.

Wahai Allah, jika Engkau tidak lagi mahu mengendahkan kami; maka Tuhan mana lagi yang dapat kami seru? Ya Allah, bantulah kami, mencukupi bagi kami Allah sebagai Wakil, Dia-lah sebaik-baik Maula, lagi sebaik-baik Penolong.

Amin.

Monday, July 03, 2006

Dimanakah kami pada hari ini?

Bismillahir-Rahmaanir-Rahiim,

Ya Allah, Engkaulah Tuhan. Tiada tuhan melainkan Engkau. Tuhan di langit mahupun di bumi. Segalanya diciptakan daripada tiada kepada ada, hanya bergantung kepada Iradat dan Kudrat-Mu. Engkaulah Rabb, Zat Yang Maha Mencipta lagi Maha Mentadbir dan Memiliki segala ciptaan-Mu. Tiada satu atom pun, baik yang di langit ataupun di bumi mahupun yang ada di antara keduanya, dapat bergerak mahupun terhenti, melainkan hanya dengan izin-Mu, melainkan segalanya dalam liputan ilmu-Mu. Wahai Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha meneliti segala ahwal hamba-hamba-Mu! pandanglah kami dengan pandangan rahmat-Mu ya Allah!

Ya Hayyu Ya Qayyum! Hanya dengan rahmat-Mulah kami menggantungkan harapan, kepada ihsan-Mulah kami menumpukan rayuan. O Allah! Bagaimanakah diri kami di sisi-Mu? YA Allah, ampunkamlah segala dosa kami, segala kealpaan kami, segala kelalaian kami. Ya Allah, betapa kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, dan tidak ada yang dapat mengampunkan dosa-dosa melainkan Engkau, maka ampunilah kami dengan keampunan dari sisi Rahman dan Rahim-Mu.

Ya Allah, antara kezaliman kami pada hari ini, betapa kami masih boleh bersengkang mata bergelak ketawa dengan Piala Dunia, sedangkan saudara-saudara kami di Palestin terutamanya diseksa dan dibunuh sewenang-wenangnya. Wahai Allah, ampunilah kami. Apakah yang telah terjadi kepada kami? Sehingga begitu sekalikah keras dan gelapnya hati kami?

Ya Allah, ya Arhamar-Rahimin!

Demi nisbat kami dengan kemuliaan kekasih-Mu, Rasulullah s.a.w., ampunilah kami, hidayatilah kami umat kekasih-Mu ini, berilah kami taufik yang sempurna, sehingga timbul kerisauan di dalam hati kami ke atas hakikat keimanan kami. Sehingga akan mendorong kami berusaha sekeras yang mungkin, untuk meningkatkan hubungan dengan-Mu, Pemilik Segala Kemuliaan. Sehingga kami berusaha sedaya yang mungkin, untuk mencapai hakikat keimanan dan amalan soleh, sehingga Engkau akan memuliakan kami dengan 'Izzah-Mu, yang Kau janjikan bagi orang-orang yang benar-benar beriman. Sehingga kami layak mendapat Nusrah-Mu, sebagaimana janji-Mu di dalam Kitab-Mu!

Ya Allah, jika tidak Engkau, kepada siapa lagikah kami boleh berpaling dan memohon pertolongan? O Allah, kasihanilah kami, bantulah kami!

Amin.

Muqaddimah seorang hamba...

A'uuzubillahis-Samii'il-'Aliim, minasy-Syaitoonirrajim,
Bismillahir-Rahmaanir-Rahiim,

Ya Allah, tiada puji dan puja melainkan segalanya hanya untuk-Mu. Segala puji-pujian, sebagaimana selayaknya pujian itu untuk DiriMu. Segala puja dan puji, sebagaimana layaknya Engkau memuji DiriMu. Wahai Tuhan sekalian alam! Alam yang kami tahu atau alam yang kami 'tak tahu, alam yang Engkau zahirkan kepada kami mahupun alam yang Engkau sembunyikan kepada kami; sudilah Engkau menerima puji-pujian dari hamba-Mu yang hina dina ini. Ya Allah, dengan penuh rasa kerdil dan faqir kepada kurniaan-Mu, aku memuja dan memuji-Mu!

Ya Allah, demi Rahman dan Rahiim-Mu yang melaut luas. Rahman-Mu yang memberi tatkala diminta, Rahiim-Mu yang murka apabila tidak diminta. Maka, dengan penuh keyakinan dan memandang hanya kepada Rahmaan dan Rahiim-Mu, aku menadah tangan pada saat ini, memohon limpah ihsan dan belas-Mu. Ampunilah aku! Bantulah hamba-Mu ini. Baik dalam kehidupan dunia yang sementara, mahupun kehidupan akhirat yang kekal abadi!

Aku yakin ya Allah! satu hari nanti aku akan berdiri di hadapan-Mu, di dalam Mahkamah-Mu pada hari Mahsyar nanti. Engkaulah Penguasa lagi Pemilik Hari Pembalasan. Tanpa keampunanan dan belas kasihan-Mu ya Allah, pasti aku akan binasa pada hari itu! Pasti aku akan celaka pada hari itu!

Ya Allah, Ya Rahmaan, Ya Rahiim!

Hanya Engkaulah Tuhan! Tiada Tuhan melainkan Engkau. Satu-satunya Zat Sang Maha Pencipta lagi Maha Wujud. Hanya kepada-Mulah aku sembah dan sujud, hanya kepada-Mulah aku mengharapkan kurnia, bantuan dan pertolongan. Segalanya datang dari khazanah-Mu, apa saja yang Engkau kehendaki, pasti akan terjadi. Apa yang Engkau tidak kehendaki, mustahil sama sekali akan terjadi. Wahai Allah! Hatiku bertawajuh hanya kepada Kudrat dan Iradat-Mu yang melaut luas. Limpahkanlah hidayah-Mu kepada hamba-Mu ini.

Ya Allah, tanpa taufik-Mu, aku akan terkapai-kapai mencari jalan yang lurus. Hidayatilah aku dan seluruh umat kekasih-Mu ke jalan yang lurus. Daripada kufur dan syirik kepada Islam, Iman dan Ihsan. Sesungguhnya kami umat kekasih-Mu ya Allah! Demi nisbat kami dengan kemuliaan kekasih-Mu Muhammad s.a.w.; ampunilah dosa kami, tutupilah aib kami, berbelaskasihanlah dengan kelemahan kami, kekurangan kami Kau sempurnakanlah, kesilapan kami Kau ampunkanlah, bimbinglah kami dari kejahilan dan kegelapan, kepada cahaya dan keimanan. Ya Allah, jangan sampai Kau murka kepada kami, jangan sampai Kau sesatkan kami. Sesungguhnya, semata-mata kepada Rahmaan dan Rahiim-Mulah yang kami harapkan!

Amin.